SeTiaP BLoG aDa HaK CiPTaNYa
Assalamu'alaykum..
Saya sedikit terganggu belakangan ini berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir. Bukan saja kepada situasi negara tetapi juga situasi saya dan blog. Kali ini biarlah saya bercakap sedikit tentang laman ini yang sudah lebih setahun saya curahkan idea dan perkongsian ilmu di dalamnya.
Sebenarnya masalah yang saya hadapi ini sudah lama. Sengaja saya pendamkan agar tidak timbul salah faham di kalangan pengunjung. Ianya berkait dengan hak cipta, originality dan kredit kepada blog. Sebelum ini seorang teman saya, Rizal Hamdan pernah menulis dalam blognya, berkenaan bagaimana seorang lulusan Master mengambil tulisan dia dan dijadikan 'hak milik sendiri' dalam laman IKIM.
Ya, siapa yang tidak terkilan bilamana jerit payah, sengkang mata, usaha sendiri tiba-tiba 'dicuri' oleh orang lain?
Saya juga mengalami masalah serupa. Dari dulu hingga sekarang. Bermula tajuk Afghanistan ke angkasa 19 tahun lalu, Jawapan untuk Anwarisme, SaYa BeRuMuR 129 TaHuN SaYa MaSiH HiDuP DaN SaYa BoLeH MeNGuNDi , 10 SeBaB MeNoLaK BN, hinggalah kepada yang terbaru HeBaT BeNaR MeNTeRi KiTa! dan EuRoCoPTeR: BRaZiL BeLi RM83j, MaLaYSia BeLi RM193j, ada sahabat-sahabat blogger yang mengambil tulisan saya dan diletakkan blog mereka. Ada lagi tajuk yang lain, tapi itu sekadar contoh.
Saya tidak marah, malah saya ucap ribuan terima kasih kerana gema suara saya di sambung oleh rakan-rakan lain. Cuma yang menjadi kilan bagi saya bilamana ada segelintir (bukan semua) yang menjadikan tulisan saya sebagai 'hak milik sendiri'. Memberikan kredit tentu jauh sekali.
Perkara ini bukan terjadi pada laman blog saja. Saya masih ingat, contoh, satu tulisan saya iaitu Jawapan untuk Anwarisme, diambil sebahagiannya oleh sebuah laman web rasmi suara parti oposisi dan dijadikan 'hak milik sendiri' sang penulis.
Saya ingin tegaskan, memberikan kredit kepada penulis asal bukan soal mempromosikan blog. Ia menunjukkan rasa hormat pada ilmu dan tanda aras moral blogger yang menyalin tampal tulisan itu. Kalau sekadar mahukan hits yang tinggi, nah.. banyak caranya. Buat saja satu video di Youtube dengan 'gambar panas' dan 'tajuk panas', kemudian sertakan link blog sendiri. Mau 6 juta hits sehari. Tak perlulah saya huraikan maksud 'panas' itu.
Lagi pula, katalah saya mengambil satu artikel daripada saudara Rizal. Kemudian saya letakkan link http://syeikhryz.blogspot.com/ , agak-agak berapa ramai yang nak klik link ini? Buat apa nak klik lagi sebab artikel Rizal itu sudah ada dalam blog saya?
Tapi sebagai rasa hormat pada budaya ilmu, saya tetap akan linkkan. Ini menunjukkan saya bukan penulis asal dan mengelakkan kekeliruan di kemudian hari.
Begitu juga dalam blog ini. Setiap kali blog ini menulis, akan dilinkkan sekali sumbernya dari mana. Kalau Suara Keadilan, maka Suara Keadilanlah. Kalau Harakah maka Harakahlah akan tetap dilinkkan.
Paling tidak jika tiada kredit sekalipun, janganlah sampai nama iBNuZaCK: yang selalu saya tulis di setiap penghujung artikel juga di edit dengan nama lain.
Kilan saya bukan apa. Saya cuma terasa bilamana ada yang bertanya adakah saya ambil tulisan sekian-sekian dari laman web sekian-sekian? Walhal, laman itu yang ambil daripada saya. Tapi sebab tiada kredit atau artikel diubah sedikit, maka keraguan ini timbul.
Saya tegaskan bahawa semua tulisan dalam blog ini adalah pendapat peribadi saya MELAINKAN saya nyatakan sebaliknya. Blog ini juga berusaha untuk mencari keaslian. Dengan kata lain, jika sekiranya blog ini mempunyai pandangan sama dengan laman-laman terkenal yang lain, tulisan berkenaannya tidak akan dipublish. Contoh artikel berkenaan DEB tidak saya publish hingga kini sebab ketika saya menulis, saya dapati Harakah sudah publish artikel yang hampir sama. Itu puncanya kepada mereka yang selalu bertanya, 'Awat lambat sangat update nih?"
Tapi saya tidak nafikan adanya persamaan idea dengan blog lain ketika menulis. Contoh, artikel FDi USD 1 TRiLLioN : TeGuRaN BuaT HaRaKaHDaiLy mempunyai persamaan yang ketara dengan tulisan saudara Hasbullah di Hembusan ditipu Harakah. Walhal, saya hanya kenal saudara Hasbullah dan blognya bilamana dia sendiri yang bagitahu persamaan itu dalam ruangan komen blog ini.
Setiap blog ada hak ciptanya. Jika mahu ambil sebarang tulisan dalam blog ini, sangat dialu-alukan malah saya dahului dengan ucapan terima kasih. Sahabat-sahabat tidak perlu minta atau tunggu keizinan saya dahulu. Saya bukannya setiap hari mengadap blog ini. Hanya, sertakan kredit @ link blog atau paling koman jangan hilangkan nama iBNUZaCK: daripada artikel.
Silapnya mungkin pada saya juga. Saya tidak terus-terang. Saya kurang ambil peduli tentang hal ini dahulu. Mungkin saya terlalu husnuzzan dan naif. Selalu memikirkan bahawa sikap semua blogger seperti saya. Harapannya, biarlah tulisan ini menunjukkan pendirian saya, merungkai beberapa persoalan pengunjung dan jadi yang pertama dan terakhir dalam soal ini.
iBNuZaCK: Nak register blog dengan SIRIM. lol :D
Assalamu'alaykum..