Home

KeRaJaaN PeRPaDuaN: SiaPa CeLaRu?

Assalamu'alaykum..

Kalaulah mahu dihitung kezaliman BN kepada seluruh rakyat Malaysia, barangkali tidak ada kalkulator yang mampu menjumlahkannya. Semua orang sedar hakikat itu. Seorang saudara saya mengalami sakit jiwa apabila bapanya dimasukkan ke dalam tahanan tanpa bicara atas sebab yang tidak pernah dibuktikan hingga ke saat ini. Duit yang sepatutnya diguna untuk membangunkan negeri saya, dirampas atas nama ehsan dan tidak pernah dipulang hingga ke hari ini. Kesan kekasaran FRU pula mengekalkan kesan di badan saya selama beberapa hari.

Pendek kata, cukup banyak.

Jesteru itu memang saya membenci BN. Parti ini berada di tempat ke 3 selepas Zionis dan Amerika pada kebencian saya. Jesteru, jangan ada sesiapa yang gatal mulut menyebut tentang perpaduan dengan mereka ini. Jangan ada sesiapa yang cuba menjadi najis dan memperdekatkan kita dan mereka ini. Mereka tidak layak diperdekat, dan mereka tidak layak disalami sedang tangan mereka masih berbau darah Memali.

Namun apabila Tuhan menyebut "Wa ta'a wanuu 'alal birri wat taqwaa" iaitu "Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebajikan dan taqwa" dan "Wala Yajrimannakum syana aanu Qaumin 'alaa alla ta'dilu" bermaksud "Janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum, menyebabkan kamu berlaku tidak adil kepada mereka" (Al-Maidah), maka tolong bagitahu saya bagaimana saya nak melawan Tuhan dalam perkara ini? Saya tidak reti dan tidak diajar bagaimana. Saya bertalaqqi beberapa kitab dan membaca beberapa yang lainnya, bermula Fiqh Awlawiyyat dan berakhir Mafahim Yajibu An-Tusohhah (belum habis), saya tidak jumpa satu mukasuratpun untuk bagaimana saya boleh melawan Tuhan dan Tuhan redha akan perbuatan saya itu. Saya tidak jumpa.

Disebabkan saya tidak reti melawan itulah barangkali Dewan Muslimat tidak mendesak JAKIM untuk menyiasat dan mengharamkan saya jika terbukti bersalah sepertimana yang diusul mereka kepada sebuah pertubuhan feminis-liberal. Ya, barangkalilah..

Apa yang membezakan ahli jemaah Islam dan jemaah biasa adalah kita tidak pernah diajar untuk meletakkan emosi kita mengatasi iman dan fikiran kita dan akhirnya memandu perbuatan kita. Kita diajar untuk menjadikan iman menguasai fikiran dan fikiran itu menguasai perbuatan kita. Meletakkan emosi dan amarah hanya mengakibatkan wujudnya ketidak rasionalan dalam pendapat dan tindakan kita.

Benar mereka pernah zalim kepada kita ketika mereka kuat. Mereka pernah enggan berunding dengan kita tatkala kita lemah dan tiada daya. Tetapi jika kita yang kuat pada hari ini enggan berunding dan menyelamatkan mereka yang sudah lemah daripada terus hanyut dengan dunia mereka dan kemudiannya akan memusnahkan negara, maka kita bukan sudah sama dengan mereka.... tapi kita adalah mereka!

Ada orang menulis menolak 'unity government' ini dengan kejadian 1977 dan dalil 'Orang mukmin itu tidak akan dipatuk ular 2 kali di lubang yang sama'. Namun, unity government terlalu berbeza dengan coalition government yang dibentuk 35 tahun lalu. Ia diperjelaskan sendiri oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man di blognya dan ditambah syarat-syarat pembentukannya oleh Tuan Guru beberapa detik tadi.


Antara Kerajaan Perpaduan dan Projek 16 September

Lantas pastinya sesetengah akan mempersoalkan, mengapa terlalu lambat mengeluarkan syarat dan kenyataan? Mengapa ditunggu sehingga retak jemaah baru membetulkan keadaan?

Saya masih merasai gegaran 16 September tahun lepas. Sepertimana Unity Government, 16 September juga berkongsi matlamat serupa; membetul dan memandu negara ke arah yang sempurna.

Saat itu pernahkah kita didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan strategi pembentukannya, syarat-syarat (tawaran) kemasukan ahli lompatnya, kedudukan ahli lompat dalam kabinetnya hatta siapakah Timbalannya?!. Tidak ada.

Kenapa?

Kerana politik adalah seni serba mungkin. Politik adalah seni menggoda. Politik juga adalah seni perang. Tidak ada jeneral yang memberitahu strateginya kepada para tentera tatkala telinga musuh tertadah di sebelah. Itu jeneral tak mumayyiz namanya.

Apabila DSAI mengumumkan 16 September, tidak ada seorang pun antara kita yang menganggap itu cubaannya yang mahukan kuasa walaupun umum tahu dia akan jadi PM jika PR memerintah. Tetapi apabila Tuan Guru Presiden menggagaskan 'Unity Government' kita anggap dia nyanyuk dan gila kuasa padahal kita tak tahupun kalau jadi pelan itu Tuan Guru akan jadi siapa.

Apabila DSAI berahsia tentang strategi 16 Septembernya, kita anggap itu taktik dan tindakan politik matang. Apabila Tuan Guru berahsia tentang strateginya, kita anggap dia pembohong, lembap dan patut diludah mukanya.

Begitu juga apabila tarikh itu berlalu, DSAI semakin tidak menyebut tentang 16 September. Dan kita mentaatinya dengan tidak berbicara lagi tentangnya kerana kita tahu itu bisa menggugat perpaduan antara parti komponen dalam PR. Kita sanggup bertindak lebih jauh dengan membelasah siapa juga yang cuba mempertikaikan kejayaan 16 september walaupun semua orang tahu tokoh itu betul dalam tekaan politiknya. Tetapi apabila Dato Mustafa Ali meminta kita jangan mempolemikkan 'Unity Government' kkerana ia mengocak keamanan dalam parti, kita anggap dia cuba menutup pelan busuknya. Walhal rayuan tokoh ini selari dengan kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah di blog suaminya.

Kenapa kita husnuzzon (sangka baik) pada tokoh luar dan syirruzzon (sangka buruk) pada tokoh sendiri?

Saya tidak marah atau tersinggung bilamana kita semua mentaati dan menyanjung DSAI sebegitu rupa; kerana saya adalah salah seorang dari kelompok itu juga. Saya mengkaguminya sebermula gelaran TPM melekat di dadanya.

Tetapi saya pelik dan jijik bilamana kita sanggup menumpahkan taat setia seorang pemimpin yang berada di luar jemaah tetapi dalam masa yang sama kita memijak dan menyepak kepala pemimpin jemaah kita sendiri sampai lunyai!

Saya tidak harap kita mampu jadi seperti sahabat Nabi, yang mana mereka tidak mempersoalkan tindakan baginda sebaliknya sentiasa menyebutkan "Allah dan Rasulnya lebih tahu". Saya tidak mampu harap ketaaatan sebegitu. Mimpi sahaja. Kerana Rasulullah jauh lebih indah daripada Tuan Guru dan kita jauh lebih hina dari tapak kaki para sahabat. Tetapi bukankah Allah menyebutkan; "Laqod kaana fi qososihim 'ibratun li ulil albab"? (Sesungguhnya dalam kisah-kisah mereka itu ada pengajaran bagi orang yang berakal).

Tidak adakah sedikitpun pelajaran daripada kisah itu kepada kita yang dikurniakan akal ini?

Percayalah bahawa Islam itu tertegak melalui jemaah. Jemaah itu tidak boleh wujud tanpa bai'ah (sumpah setia). Bai'ah tidak ada nilai tanpa wala' (ketaatan). Wala' tidak boleh terbina tanpa thiqah (kepercayaan). Dan thiqah tidak boleh hidup tanpa sabar.

Yaa ayyuhal laziina aamanusta'iinu bissobri wassolah.

(Wahai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu)


Hati-Hati dengan 'Akhbar Online'

Saya sempat hadir dalam Muktamar Tahunan PAS pada 2 hari terakhir. Hari pertama (Jumaat), saya tidak hadir atas sebab tugas.

Dalam ucapan dasar Presiden no 8, jelas disebutkan bahawa agenda PAS adalah memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya PAS mempunyai sikap terbuka untuk bertemu sesiapa sahaja demi kepentingan Islam dan rakyat negara ini. Pendirian yang sama diulang lagi dalam ucapan penutup. Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa kemudiannya mempertegaskan pula pendirian itu dengan kenyataan bahawa 'tidak ada niat untuk membawa PAS bersama UMNO'.

Saya fikir kenyataan ini sudah jelas. Saya tidak kisah bilamana ada media perdana masih dungu melaporkan 'Hadi mahu bergabung dengan UMNO'. Sebab itu memang kerja mereka. Tetapi apabila media alternatif memainkan isu serupa maka saya cukup kilan.

Kerana media ini dipercayai oleh teman-teman kita. Akhirnya wujudlah statement kebudak-budakan seperti "PAS mahu main kahwin-kahwin dengan UMNO" atau "PAS seperti anak dara yang merelakan diri dirogol mat-mat rempit bernama UMNO". Peliknya apabila PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR demi kebaikan dan keadilan, tidak pula wujud statement "PAS seperti anak dara yang menyerahkan daranya kepada anak teruna" atau apabila ABIM cuba menyatukan PAS dan UMNO pada zaman Almarhum Us Fadhil Noor dahulu, tidak juga dikata "ABIM umpama bapak ayam yang cuba menjual anak dara kepada mat rempit!"

Ini sedang berlaku. Dan bayangkan jika amarah dan emosi yang dijana hasil laporan songsang media yang selama ini kita anggap kawan merebak, bukankah saat itu pecah belah bahtera yang kita layari sekarang?

Begitu juga apabila media sama melaporkan kononnya 3 naib Presiden menolak cadangan Presiden. Sedangkan hakikatnya Tuan Ibrahim cukup terbuka dan bersama Presiden dalam hal ini.

Hal sama juga berlaku bilamana mereka 'tiba-tiba' menjadi condong kepada Datuk Paduka Husam Musa dengan mempertikaikan perlantikan Ustaz Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden dengan alasan beliau tiada sokongan majoriti (Lebih 50%). Tetapi apabila 52% tidak turun mengundi di Penanti, tidak ada pula yang gatal-gatal mengandaikan 52% itu bersama BN memboikot PRK.

Bukankah sama dengan perangai Utusan Malaysia yang 'tiba-tiba' condong kepada Us Nasharuddin?

Jesteru kenapa hal ini berlaku?

Ahh.. jika wujud kerja-kerja bodoh dalam PAS, tidak mustahil kerja-kerja bodoh tidak wujud dalam pihak lain.

Saya tidak mengatakan kita harus boikot akhbar-akhbar ini. Tapi saya kira kita wajar menganalisis dan merasionalkan pemikiran dengan mengambil kira sepenuhnya sumber parti yang asas (Harakah) agar tidak mudah musuh memecah belahkan kita. Seimbangkan pembacaan dan teguhkan konsep tarbiyyah yang kita terima.

Kerana perjuangan ini penuh liku dan sukar. Tidak ada kesenangan. Percayalah kerana Nabi sendiri menyebutkan bahawa 'Akan datang suatu zaman di mana umatku memegang agamanya sepertimana dia memegang bara api'

Rabbanaftah bainana wa baina qaumina bil haq. Wa anta khairul Faatihiiin.

Ya Allah Tuhan kami, bukakan antara kami dan antara kaum kami dengan kebenaran. Kerana Engkau sebaik-baik pembuka.

Ameen


iBNuZaCK: Dan Allah Maha Mengetahui.

Assalamu'alaykum..

JaNGaN BoiKoT iSRaeL!

Assalamu'alaykum..

Pernah sekali saya terbaca satu tulisan seorang 'ulama' tanah arab (bukan tulisan tapi transkrip kaset).

Katanya, kita boleh membeli barangan Israel selagi mana barangan itu halal. Alasannya,jangan kita haramkan apa yang Allah telah halalkan dan sebaliknya. Hujahnya adalah Nabi saw juga pernah berjual beli dengan Yahudi Madinah.

Saya tak tahulah Bagaimana 'ulama' ini mengaji sirah. Yahudi yang Nabi berjual beli itu adalah Yahudi Madinah yang ada perjanjian sekutu dengan orang Islam. Yahudi ini hidup di Madinah dan berhak kepada perlindungan daripada pemerintahan Islam. Sedangkan Yahudi Zionis yang disebut sebagai 'wajib boikot' ini adalah Yahudi yang menaklukkan tanah-tanah Islam, yang membunuh warga Islam. Dan berdagang dengan mereka hanya akan menguatkan kekuasaan mereka ke atas Baitul Maqdis dan menjerut leher warga Palestin.

Bukankah situasinya terlalu berbeza?

Jikalah dikatakan boikot itu mengharamkan apa yang halal, maka adakah ahlul Madinah sendiri pernah mengharamkan apa yang halal apabila mereka memboikot Telaga Ruumah yang dimiliki Yahudi dan kedai-kedai Yahudi di Pasar Madinah kerana penjual Yahudi menipu dalam jual beli?

Kalaulah memboikot sang penipu dibolehkan, apakah memboikot si pembunuh diharamkan?

Kita tidak boikot Yahudi kerana agama mereka Yahudi. Kita tidak boikot Zionis kerana nama dia Zionis. Tapi kita boikot dia kerana dia serang dan dera saudara kita.

Begitu juga ada yang cuba merendahkan boikot. Mengatakan bahawa boikot ini tidak ada kesannya. Kalau ada pun sedikit. Lebih kurang begitulah.

Saya rasa cukup ganjil dan aneh. Apakah Allah Taala itu lebih memandang hasil daripada usaha? Jika benar, maka apakah darjat syahid syuhada yang gugur di medan Badar dan Uhud juga berbeza sebab hasil peperangannya (Badar menang dan Uhud kalah) berbeza?

Allah Taala memandang usaha kita. Dipandangnya kesungguhan dan taqwa kita. Soal hasil itu adalah ketentuan Dia. Dia boleh mengekalkan Israel di bumi ini sampai tempoh yang Dia mahu walaupun satu dunia tembak nuklear atas tanah Palestin yang terjajah itu, walaupun satu dunia memboikot dan menghalang perdagangan dengan tanah Palestin yang terjajah itu. Seperti mana dia mengekalkan kerajaan Islam Mameluk Mesir di bawah pimpinan Al Malik Muzaffar Saifuddin Qutuz (Ashairah) walaupun satu dunia (Empayar Monggol dan Kristian) menentang mereka.

Begitu juga Dia boleh menghancurkan Israel itu dengan sekecil-kecil sebab. Walaupun dengan hanya satu dua orang boikot tak makan McD. Sepertimana Dia boleh menghancurkan kerajaan besar Namrud yang dimulai dengan sekecil-kecil sebab; seekor nyamuk memasuki rongga hidung sang raja.

Wamakaru Wamakarallah Wallahu Khairul Makiriin

Sesungguhnya manusia merancang dan Allah juga merancang dan Allah sebaik-baik perancang

Had kita untuk membantu Palestin dengan kadar ini ada 5. Doa, boikot, sebaran maklumat, demonstrasi dan derma. Boikot adalah 'serangan' kita kepada Zionis. Derma adalah 'pertahanan' kita kepada rakyat Palestin. Demo sebagai tanda suara kebencian kita untuk didengar. Sebaran maklumat untuk jalinan dakwah itu tidak akan putus.

Ada juga golongan yang menolak demonstrasi. Alasannya tiada dalil hadis dan Al Quran maka ia menjadi haram.

Sebelum jawab saya nak tanya, apa dalil kita jual naskhah Quran? Apa dalil kita jual naskhah sahih hadis? Apa dalil kita jual khat ayat Quran kemudian buat kain gantung dekat Kaabah? Apa dalil kita makan dulu lepas sendawa baru bayar sedangkan kita diajar utk bayar dulu baru pakai barang/makan kita beli? Apa dalil kita bayar zakat fitrah pakai duit (thaman bi al-nuqud al-Mithli) sedangkan jelas disebut segantang makanan ruji bukan duit? Apa dalil kita azan 2 kali sembahyang jumaat sedangkan Nabi buat sekali saja?

Kenapa bila sampai tahap sebegini baru tiba-tiba kita nak cakap, "oh itu sebab masoleh mursalah, sebab uruf, sebab istihsan, sebab istishab, sebab pendapat sahabat, sebab ijtihad etc etc"?

Kenapa?

Kalaulah boikot tak boleh, demonstrasi tak boleh. Apa jalan yang lebih berkesan menentang Zionis dengan tahap kita?

Bila ditanya begini, diam pula. Mengkritik tahu, memberi penyelesaian tidak sama sekali.

Maka benarlah kata bijak pandai:

Setiap pengkritik itu bodoh melainkan dia memberikan penyelesaian atas apa yang dikritiknya

iBNuZaCK: Suka orang cerdik..

Assalamu'alaykum..

iSRaeL MaSSaCRe: THiS NeeD To Be SToPPeD!

Klik link di bawah untuk download video. Video ini di remove mungkin kerana kandungannya mengerikan.

Sumber 1
Sumber 2
Sumber 3

HuSNi MuBaRaK atau HuZNi MuBaNGSaT?

Assalamu'alaykum..

Kalimat 'Hasan' di dalam Bahasa Arab membawa maksud 'baik'. Dari kalimat itu lahirlah perkataan 'Husni' yang membawa maksud 'Kebaikanku'. 'Barak' di dalam bahasa yang sama membawa maksud 'berkat'. Dari kata masdar (akar) itu pula lahirlah perkataan 'Mubarak' yang membawa maksud 'Pembawa Keberkatan". Maka jika ada manusia bernama Husni Mubarak, maksud namanya adalah 'Kebaikanku Pembawa Keberkatan'.

Namun seorang manusia tua di Utara Afrika tidak layak di panggil 'Pembawa Keberkatan' walaupun namanya memang begitu. Dia lebih sesuai digelar Huzni Mubangsat atas kebiadapannya menutup pintu sempadan Gaza di Rafah hingga menyebabkan begitu banyak bantuan kemanusiaan untuk mangsa regim apartheid Zionis tersangkut di pintu sempadan.

'Huzni' dalam bahasa Arab membawa maksud 'Kesedihanku'. Kalimat 'Mubangsat' pula berasal dari 2 perkataan bahasa Melayu dan biasa digunakan oleh budak-budak kampung bila kena ejek lepas kalah main bola. Tak perlulah ada yang mahu saya hurai maksudnya pula.

Secara politiknya, 'Mubangsat' memang membenci gerakan Hamas. Kemenangan Hamas dalam Pilihanraya Palestin hingga dilaporkan mendapat sokongan 62% pengundi sebenarnya memberi impak kepada gerakan politik Islam di wilayah Mesir sendiri. Ikhwanul Muslimin, parti politik Islam yang bertindak sebagai pembangkang di Parlimen Mesir adalah pihak yang bertanggungjwab melahirkan gerakan Hamas di negara jiran mereka. Makanya, sebarang populariti yang diraih Hamas akan turut dirasa bersama gerakan Islam ini.

Maka kebangkitan politik Islam ini perlu dibendung agar tidak mengganggu gugat kuasa dominon puak sekular yang telah lama merajai Mesir.

Jika tindakan Jeneral Gamal Abdul Nasir menggantung syahid Syed Qutb dibuat bagi melemahkan pengaruh Ikhwan, maka kejahatan Huzni Mubangsat menutup pintu sempadan dan menghalang bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk Gaza boleh ditafsir sebagai satu amaran buat rakyat Mesir agar tidak menyokong gerakan Islam jika tidak mahu menerima nasib sama.

Pakatan Mesir- Zionis- Fatah dalam serangan Gaza ini terserlah dari awal. Di satu pihak, pemimpinnya menghalang bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa perang agar moral pejuang Hamas menurun dan rakyat Gaza boleh mati beramai-ramai. Di satu pihak, pemimpinnya menghancurleburkan infranstruktur Gaza agar 'proses pembersihan' dapat dibuat. Di satu pihak lagi, pemimpinnya sudah bersedia membentuk satu 'kabinet bayangan' untuk menguasai Gaza bilamana Hamas digulingkan.

Jadi serangan Gaza bukan untuk membela penduduk Yahudi. Ia kerana politik. Ia kerana kuasa. Ia kerana dendam lama.

Tindakan Presiden sebuah negara kafir menghalau duta Israel keluar dari negaranya adalah satu tindakan yang mengagumkan. Tapi tindakan ini tiada makna di hati pemimpin Arab. Mereka yang 'perasan Sunnah' ini lebih gemar berjoget daripada berbicara membela nasib saudara seagama .

Maka benar sekali kata Ibnu Batuttah bila dia selesai mengelilingi dunia.

"Aku melihat di luar sana Islam itu di mana-mana. Tetapi orang Islam itu tiada. Di sini aku melihat orang Islam itu di mana-mana. Tetapi Islam itu tiada"

Nama saja pemimpin Islam. Roh Islam letak di mana? Sudahlah tidak membantu tapi menyusahkan pula?

Maka salahkah dipanggil Huzni Mubangsat?

iBNuZaCK: Terkenang Sultan Saifuddin Qutuz, pemerintah Mameluk Mesir yang mengalahkan tentera kuffar Monggol Di Ain Jalut, Palestin.

Assalamu'alaykum..

MeNJaWaB GoLoNGaN MuRTaD: PenGHiNaaN aTaS RaSuL DaN aGaMa

Assalamu'alaykum

Baru-baru ini saya bertemu dengan beberapa persoalan tentang Quran dan Hadis di dalam sebuah forum yang telah dimanipulasi oleh golongan murtad. Saya kompilasikan soalan mereka dan jawapan saya berkenaan masalah ini. Semoga beroleh manfaat untuk semua:

Soalan:

Salah satu sebab kenapa Al-Quran tidak diturunkan secara sekaligus ialah kerana Muhammad sendiri yang menciptakannya supaya sesuai dengan hukum dan undang-undang yang dimahukannya. Ini jelas terbukti semasa ramai para sahabat beliau mengacau isterinya maka beliau menetapkan bahwa tiada siapapun yang boleh mendekati dan menikahi isteri-isteri beliau (Al-Ahzab ayat 6 dan 53) kerana beliau menyamakan isteri-isteri beliau sebagai ibu orang-orang mukmin. Lalu tiada seorangpun yang boleh menikahi mereka setelah beliau mengambil mereka sebagai isteri.

Jawapan:

Adalah satu perkara yang tidak tepat dengan mengatakan 'semasa ramai para sahabat beliau mengacau isterinya', sedangkan hanya ada satu sahabat ( Ibnu Ubaidillah semaklum saya )yang berhasrat mengahwini isteri Rasul hanya setelah Rasul wafat. Term 'ramai' tidak kena kerana 'ramai' dan 'satu' itu berbeza.

Begitu juga dengan 'isteri'. Isteri merujuk masih bersuami. Jika suami meninggal dikira 'balu'. Tidak dikira kacau isteri orang jika hanya berhasrat mengahwini mereka apabila mereka sudah tidak terikat.

Jelas, teknikaliti ayat telah disumbangkan agar kesalahfahaman yang dibuat oleh kenyataan ini supaya nampak 'macam benar sahabat kacau isteri Rasul'.

Ada pendapat mengatakan, antara hikmah dilarang mengahwini BALU (Balu bukan isteri) Rasul adalah untuk memelihara kedudukan dan kemuliaan isteri Rasul itu sendiri.

Contoh paling mudah, Permaisuri A adalah bekas isteri kepada Sultan B. Semasa dia bersama Sultan, kedudukannya adalah permaisuri. Kemudian, selepas bergelar balu dia dikahwini Dato C. Maka kedudukan Permaisuri A sudah jatuh dari Permaisuri kepada Datin sahaja. Ini perbandingan mudah yang berlaku sekitar kita.

Wallahua'lam

Soalan:

Muhammad itu bukanlah bapak dari seseorang di antara kamu (Surah Al-Ahzab ayat 40

Justru ayat ini cukup untuk menghalalkan pernikahannya dengan janda anak angkatnya iaitu Zaid. Oleh kerana Muhammad itu bukan bapa orang-orang muslim maka beliau bebas untuk menikahi perempuan manapun. Tetapi Muhammad menetapkan bahawa isteri-isterinya itu adalah ibu orang-orang muslim (Al-Ahzab ayat 6), jadi mereka tidak boleh berkahwin dengan sesiapapun selepas Muhammad menceraikan ataupun selepas Muhammad wafat. Ini adalah salah satu hukum yang diciptakan Muhammad untuk memuaskan hawa nafsunya.


Jawapan:

Antara cara ayat Al Quran sendiri diturunkan adalah berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Ini dipanggil Asbabun Nuzul (Sebab-sebab Turun). Antara hikmahnya adalah supaya sahabat mudah ingat.

Berkenaan Ayat 40 Suratul Ahzab. Benar ia turun kerana peristiwa Rasul mengahwini bekas isteri Zaid. Namun harus difaham, tidak pernah setahu saya dalam mana-mana syariat Nabi terdahulu sekalipun, Allah mengharamkan perkahwinan bapa angkat- bekas isteri anak angkat.

Masalah pada kali itu adalah orang Arab Quraisy menganggap bahawa Nabi mengahwini isteri anaknya sendiri. Maka ayat itu turun, antaranya membuktikan bahawa Rasulullah tidak berhubungan darah (bapa sebenar) kepada Zaid. Maka sudah tentu boleh dikahwini.

Penyoal tersalah faham pada kalimat 'Abaaaa' (bapa) Surah Ahzab :40 dan 'Ummahatuhum' (ibu-ibu mereka-org mukmin) pada Surah Ahzab ayat 6. Dalam ilmu Quran, kalimat Quran terbahagi kepada 2. Satu, makna hakikat. Dua, makna majaz (kiasan).

'Abaaa' pada Surah Ahzab ayat 40 membawa makna hakikat iaitu Bapa kandung, bapa sebenar. Iaitu rasul bukan bapa sebenar kepada Zaid.

Namun "ummahatuhum -UMM" pada ayat 6 Surah Ahzab adalah makna majaz iaitu kiasan. Ia tidak membawa maksud isteri Nabi adalah ibu sebenar/ibu darah orang beriman tetapi menunjukkan kehormatan/kedudukan yang tinggi diberi kepada mereka.

Contoh. Hurairah membawa makna anak kucing. Nabi menggelarkan seorang sahabatnya sebagai Abu Hurairah yakni 'bapa kepada anak kucing'. Ia tidak membawa maksud segala anak kucing dalam dunia ni berasal dari benih Abu Hurairah tetapi 'Abu' disitu membawa maksud majaz (kiasan) bahawa sahabat Nabi seorang ni sangat sayang kepada haiwan itu seperti bapa menyayangi anaknya.

Wallahua'lam

Soalan:

Islam diasaskan untuk membawa dunia kepada peperangan. Semua orang kafir patut diperangi dan dibunuh jika tidak mau masuk Islam. Tetapi di dalam Al-Quran hanya ada satu ayat sahaja yang mengajak perdamaian:

“Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang diantara kamu dengan orang-orang yang pernah kamu musuhi di antara mereka.” (Surah Al-Mumtahanah 7)


Jawapan:

Bohong sangatlah bila dikatakan hanya ada satu ayat yang mengajak dan menganjur perdamaian dalam Quran.

Dalam Surah Al Anfal ayat 7, disebutkan bahawa," Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah .... "

Begitu juga dengan Surah An-Nisa' ayat 114 dan Surah At Taubah ayat 4. Ini yang sempat saya rujuk. Mungkin ada lagi.

Soalan:

Islam lebih teruk dari agama Yahudi kerana menganggap manusia selain muslim itu adalah NAJIS, BINATANG TERNAK, KERA dan BABI, sebagaimana firman Allah:

1. “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu adalah NAJIS” (Surah Al-Taubah 28)

2. “Sesungguhnya BINATANG yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah orang-orang kafir” (Surah Al-Anfal 55)

3. “Katakanlah Muhammad, apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang yang lebih buruk pembalasannya daripada orang fasiq di sisi Allah? Diantara mereka ada yang dijadikan KERA dan BABI” (Surah Al-Maidah 60)

Jawapan:

1. 'Najasun' dalam Surah Al-Taubah 28 tidak membawa makna mutlak/hakikat, najis (tahi) seperti difahami kita dan orang2 yang baca terjemahan Quran tanpa ilmu.

Kalau baca Tafsir, disebutkan Najasun di situ bermakna, "jiwa musyrikin itu dianggap kotor, karena menyekutukan Allah"

Ia juga mesti dibaca sampai habis. "maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam". Bermaksud di situ, mereka yang tidak beriman tidak boleh memasuki masjidil haram.

2. Dalam ayat Quran juga banyak disebutkan tentang binatang (haiwan). Al An'am membawa maksud haiwan ternak. As Soid membawa maksud binatang buruan (Al Maidah:95). Satu-satunya perkataan Bahasa Arab yang membawa mutlak 'binatang' semaklum saya adalah 'Al-Hayawan'.

'Ad-Dawaab' dalam bahasa Arab secara directnya memberi maksud 'binatang yang bergerak'. Ini adalah makna pertamanya. Makna ini ada disebutkan dalam Suratul Hajj ayat 18.

Namun, konteks ayat ini (Surah Al-Anfal 55) memberi pengertian yang berbeza. 'Ad-Dawaab' di sini sebenarnya membawa maksud "Makhluk Bergerak yang bernyawa". Terjemahan seperti ini ada disebutkan dalam Terjemahan Quran dari pihak JAKIM (Terbitan Pustaka Darul Iman).

Bukti bahawa 'Ad Dawaab' tidak saja membawa maksud binatang adalah pada Surah Huud ayat 6. Iaitu "Tidak ada satupun makhluk Allah yang bernyawa melainkan diberikan rezeki olehNya".

Satu bukti lain adalah dalam Surah yang sama ayat 56. "Tidak ada satu pun makhluk Allah yang bernyawa melainkan Dia memegang ubunnya (menguasai sepenuhnya mereka)".

Contoh lafaz yang mempunyai maksud berbeza adalah 'Ad-Diin'. Ad-din membawa maksud direct 'agama'. Namun, dalam Surah Al-Fatihah, ada ayat "Malikiyaumiddin". Berasal dari 3 perkataan: Malik (Raja/penguasa), Al Yaum (Hari) dan Ad-Din (Agama).

Tapi 'Ad din' di situ tidak membawa maksud agama, tetapi membawa maksud Hari Pembalasan/kiamat (Gabungan dengan Al Yaum).Maka terjemahan sebenar ayat itu adalah 'Yang menguasai di Hari Pembalasan'.

Ayat itu (Surah Al-Anfal 55) juga MESTI dibaca sekali dengan ayat 56 surah yang sama. Baru boleh faham. Iaitu "Seburuk-buruk makhluk Allah adalah mereka yang kufur (ayat 55)dan mengingkari pula perjanjian dengan umat Islam (ayat 56).

3. Ayat ini (Surah Al-Maidah 60) adalah berkaitan dengan ayat 65 Surah Al Baqarah.

Mereka yang menjadi kera dan babi itu bukan orang kafir seluruhnya tetapi Yahudi yang melanggar perintah Allah dengan tetap bekerja pada hari sabtu.

Bukti dari pihak Yahudi sendiri adalah keengganan mereka membantu/perang bersama Pasukan tentera kafir Ahzab pada hari sabtu bila diminta oleh Abu Sufyan dengan alasan, "Kami tidak bekerja pada hari sabat (hari sabtu) dan ada orang yang terdahulu telah mendapat laknat kerana melanggarnya".

Wallahua'lam..

iBNuZaCK: Anti-Murtad

Assalamu'alaykum