MeNJaWaB GoLoNGaN MuRTaD: PenGHiNaaN aTaS RaSuL DaN aGaMa
Assalamu'alaykum
Baru-baru ini saya bertemu dengan beberapa persoalan tentang Quran dan Hadis di dalam sebuah forum yang telah dimanipulasi oleh golongan murtad. Saya kompilasikan soalan mereka dan jawapan saya berkenaan masalah ini. Semoga beroleh manfaat untuk semua:
Soalan:
Salah satu sebab kenapa Al-Quran tidak diturunkan secara sekaligus ialah kerana Muhammad sendiri yang menciptakannya supaya sesuai dengan hukum dan undang-undang yang dimahukannya. Ini jelas terbukti semasa ramai para sahabat beliau mengacau isterinya maka beliau menetapkan bahwa tiada siapapun yang boleh mendekati dan menikahi isteri-isteri beliau (Al-Ahzab ayat 6 dan 53) kerana beliau menyamakan isteri-isteri beliau sebagai ibu orang-orang mukmin. Lalu tiada seorangpun yang boleh menikahi mereka setelah beliau mengambil mereka sebagai isteri.
Jawapan:
Adalah satu perkara yang tidak tepat dengan mengatakan 'semasa ramai para sahabat beliau mengacau isterinya', sedangkan hanya ada satu sahabat ( Ibnu Ubaidillah semaklum saya )yang berhasrat mengahwini isteri Rasul hanya setelah Rasul wafat. Term 'ramai' tidak kena kerana 'ramai' dan 'satu' itu berbeza.
Begitu juga dengan 'isteri'. Isteri merujuk masih bersuami. Jika suami meninggal dikira 'balu'. Tidak dikira kacau isteri orang jika hanya berhasrat mengahwini mereka apabila mereka sudah tidak terikat.
Jelas, teknikaliti ayat telah disumbangkan agar kesalahfahaman yang dibuat oleh kenyataan ini supaya nampak 'macam benar sahabat kacau isteri Rasul'.
Ada pendapat mengatakan, antara hikmah dilarang mengahwini BALU (Balu bukan isteri) Rasul adalah untuk memelihara kedudukan dan kemuliaan isteri Rasul itu sendiri.
Contoh paling mudah, Permaisuri A adalah bekas isteri kepada Sultan B. Semasa dia bersama Sultan, kedudukannya adalah permaisuri. Kemudian, selepas bergelar balu dia dikahwini Dato C. Maka kedudukan Permaisuri A sudah jatuh dari Permaisuri kepada Datin sahaja. Ini perbandingan mudah yang berlaku sekitar kita.
Wallahua'lam
Soalan:
Muhammad itu bukanlah bapak dari seseorang di antara kamu (Surah Al-Ahzab ayat 40
Justru ayat ini cukup untuk menghalalkan pernikahannya dengan janda anak angkatnya iaitu Zaid. Oleh kerana Muhammad itu bukan bapa orang-orang muslim maka beliau bebas untuk menikahi perempuan manapun. Tetapi Muhammad menetapkan bahawa isteri-isterinya itu adalah ibu orang-orang muslim (Al-Ahzab ayat 6), jadi mereka tidak boleh berkahwin dengan sesiapapun selepas Muhammad menceraikan ataupun selepas Muhammad wafat. Ini adalah salah satu hukum yang diciptakan Muhammad untuk memuaskan hawa nafsunya.
Jawapan:
Antara cara ayat Al Quran sendiri diturunkan adalah berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Ini dipanggil Asbabun Nuzul (Sebab-sebab Turun). Antara hikmahnya adalah supaya sahabat mudah ingat.
Berkenaan Ayat 40 Suratul Ahzab. Benar ia turun kerana peristiwa Rasul mengahwini bekas isteri Zaid. Namun harus difaham, tidak pernah setahu saya dalam mana-mana syariat Nabi terdahulu sekalipun, Allah mengharamkan perkahwinan bapa angkat- bekas isteri anak angkat.
Masalah pada kali itu adalah orang Arab Quraisy menganggap bahawa Nabi mengahwini isteri anaknya sendiri. Maka ayat itu turun, antaranya membuktikan bahawa Rasulullah tidak berhubungan darah (bapa sebenar) kepada Zaid. Maka sudah tentu boleh dikahwini.
Penyoal tersalah faham pada kalimat 'Abaaaa' (bapa) Surah Ahzab :40 dan 'Ummahatuhum' (ibu-ibu mereka-org mukmin) pada Surah Ahzab ayat 6. Dalam ilmu Quran, kalimat Quran terbahagi kepada 2. Satu, makna hakikat. Dua, makna majaz (kiasan).
'Abaaa' pada Surah Ahzab ayat 40 membawa makna hakikat iaitu Bapa kandung, bapa sebenar. Iaitu rasul bukan bapa sebenar kepada Zaid.
Namun "ummahatuhum -UMM" pada ayat 6 Surah Ahzab adalah makna majaz iaitu kiasan. Ia tidak membawa maksud isteri Nabi adalah ibu sebenar/ibu darah orang beriman tetapi menunjukkan kehormatan/kedudukan yang tinggi diberi kepada mereka.
Contoh. Hurairah membawa makna anak kucing. Nabi menggelarkan seorang sahabatnya sebagai Abu Hurairah yakni 'bapa kepada anak kucing'. Ia tidak membawa maksud segala anak kucing dalam dunia ni berasal dari benih Abu Hurairah tetapi 'Abu' disitu membawa maksud majaz (kiasan) bahawa sahabat Nabi seorang ni sangat sayang kepada haiwan itu seperti bapa menyayangi anaknya.
Wallahua'lam
Soalan:
Islam diasaskan untuk membawa dunia kepada peperangan. Semua orang kafir patut diperangi dan dibunuh jika tidak mau masuk Islam. Tetapi di dalam Al-Quran hanya ada satu ayat sahaja yang mengajak perdamaian:
“Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang diantara kamu dengan orang-orang yang pernah kamu musuhi di antara mereka.” (Surah Al-Mumtahanah 7)
Jawapan:
Bohong sangatlah bila dikatakan hanya ada satu ayat yang mengajak dan menganjur perdamaian dalam Quran.
Dalam Surah Al Anfal ayat 7, disebutkan bahawa," Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah .... "
Begitu juga dengan Surah An-Nisa' ayat 114 dan Surah At Taubah ayat 4. Ini yang sempat saya rujuk. Mungkin ada lagi.
Soalan:
Islam lebih teruk dari agama Yahudi kerana menganggap manusia selain muslim itu adalah NAJIS, BINATANG TERNAK, KERA dan BABI, sebagaimana firman Allah:
1. “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu adalah NAJIS” (Surah Al-Taubah 28)
2. “Sesungguhnya BINATANG yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah orang-orang kafir” (Surah Al-Anfal 55)
3. “Katakanlah Muhammad, apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang yang lebih buruk pembalasannya daripada orang fasiq di sisi Allah? Diantara mereka ada yang dijadikan KERA dan BABI” (Surah Al-Maidah 60)
Jawapan:
1. 'Najasun' dalam Surah Al-Taubah 28 tidak membawa makna mutlak/hakikat, najis (tahi) seperti difahami kita dan orang2 yang baca terjemahan Quran tanpa ilmu.
Kalau baca Tafsir, disebutkan Najasun di situ bermakna, "jiwa musyrikin itu dianggap kotor, karena menyekutukan Allah"
Ia juga mesti dibaca sampai habis. "maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam". Bermaksud di situ, mereka yang tidak beriman tidak boleh memasuki masjidil haram.
2. Dalam ayat Quran juga banyak disebutkan tentang binatang (haiwan). Al An'am membawa maksud haiwan ternak. As Soid membawa maksud binatang buruan (Al Maidah:95). Satu-satunya perkataan Bahasa Arab yang membawa mutlak 'binatang' semaklum saya adalah 'Al-Hayawan'.
'Ad-Dawaab' dalam bahasa Arab secara directnya memberi maksud 'binatang yang bergerak'. Ini adalah makna pertamanya. Makna ini ada disebutkan dalam Suratul Hajj ayat 18.
Namun, konteks ayat ini (Surah Al-Anfal 55) memberi pengertian yang berbeza. 'Ad-Dawaab' di sini sebenarnya membawa maksud "Makhluk Bergerak yang bernyawa". Terjemahan seperti ini ada disebutkan dalam Terjemahan Quran dari pihak JAKIM (Terbitan Pustaka Darul Iman).
Bukti bahawa 'Ad Dawaab' tidak saja membawa maksud binatang adalah pada Surah Huud ayat 6. Iaitu "Tidak ada satupun makhluk Allah yang bernyawa melainkan diberikan rezeki olehNya".
Satu bukti lain adalah dalam Surah yang sama ayat 56. "Tidak ada satu pun makhluk Allah yang bernyawa melainkan Dia memegang ubunnya (menguasai sepenuhnya mereka)".
Contoh lafaz yang mempunyai maksud berbeza adalah 'Ad-Diin'. Ad-din membawa maksud direct 'agama'. Namun, dalam Surah Al-Fatihah, ada ayat "Malikiyaumiddin". Berasal dari 3 perkataan: Malik (Raja/penguasa), Al Yaum (Hari) dan Ad-Din (Agama).
Tapi 'Ad din' di situ tidak membawa maksud agama, tetapi membawa maksud Hari Pembalasan/kiamat (Gabungan dengan Al Yaum).Maka terjemahan sebenar ayat itu adalah 'Yang menguasai di Hari Pembalasan'.
Ayat itu (Surah Al-Anfal 55) juga MESTI dibaca sekali dengan ayat 56 surah yang sama. Baru boleh faham. Iaitu "Seburuk-buruk makhluk Allah adalah mereka yang kufur (ayat 55)dan mengingkari pula perjanjian dengan umat Islam (ayat 56).
3. Ayat ini (Surah Al-Maidah 60) adalah berkaitan dengan ayat 65 Surah Al Baqarah.
Mereka yang menjadi kera dan babi itu bukan orang kafir seluruhnya tetapi Yahudi yang melanggar perintah Allah dengan tetap bekerja pada hari sabtu.
Bukti dari pihak Yahudi sendiri adalah keengganan mereka membantu/perang bersama Pasukan tentera kafir Ahzab pada hari sabtu bila diminta oleh Abu Sufyan dengan alasan, "Kami tidak bekerja pada hari sabat (hari sabtu) dan ada orang yang terdahulu telah mendapat laknat kerana melanggarnya".
Wallahua'lam..
iBNuZaCK: Anti-Murtad
Assalamu'alaykum