Home

SiRi 4 uNDaNG2 JeNaYaH iSLaM- QiSaS,Di'at DaN TaKZiR.

Assalamua'laykum..

Dalam siri 4 kali ini,penulis akan cuba membincangkan perkara2 yang menjadi persoalan ummah berkenaan qisas dan takzir.Bagaimana kaedah pelaksanaannya,bentuknya,tahap-tahap hukumannya,kepentingannya dan beberapa lagi.Memandangkan ini adalah siri terakhir (jika ada sekalipun penulis fikir ianya akan berkenaan fiqh daulah),penulis pohon maaf jika masih ada lompang atau lubang yang penulis gagal tampung.Maklum sahaja penulis bukan majoring dalam bidang ini.Jesteru,penulis mula merujuk pelbagai kitab ulama' muktabar,tafsir,berbincang dengan rakan2 dan bertanya kepada pensyarah atau di laman internet sendiri.Semua itu penulis kumpul,analisa sebelum keluarkan di laman ini.Ada yang mula bertanya kenapa penulis meninggalkan topik analisis dan memulakan topik fiqah.Tujuan asal penulis agar dapat memberi penjelasan kepada tetamu2 yang terlalu banyak terkeliru dengan hukuman Islam.Hatta dari penyokong gerakan Islam sekalipun yang penulis pernah jumpa,ada antaranya (minoriti) yang dengan yakinnya mengatakan "Hukum Islam mesti pakai 4 saksi".Walhal,dalam hukuman hudud mencuri contohnya,2 saksi atau pengakuan diperlukan dicampur dengan pelbagai syarat lain seperti yang penulis pernah utarakan dalam entri sebelum.Nah,bayangkan jika sekiranya pecinta Islam sendiri mempunyai kekeliruan yang besar pada syariatnya,bagaimana pula dengan sahabat2 kita yang berada di dalam kubu sekular?.Jesteru itu,penulis fikir pentingnya memulakan pemahaman di dalam diri penyokong itu sendiri,agar si dia tidak mudah terkapai apabila diserang 'mortar' dari tentera musuh.Agar si dia boleh membalas kembali 'mortar' itu dengan 'nuklear' yang memusnahkan sama sekali pegangan sekular yang dianuti oleh mereka.

Kembali kepada topik:

QiSaS

Qisas bermaksud sama,seimbang,setara.Dengan kata lain,qisas bermaksud hukuman yang seimbang,sama atau setara dengan kesalahan yang dilakukan.Satu lagi maksud qisas adalah 'potong'.Dari sudut perundangan Islam,takrifan Qisas merujuk kepada satu undang2 yang wajib dilaksanakan untuk menunaikan hak manusia.
Dalil kewajipan qisas adalah:

" Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (At Taurat) bahwasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka (pun) ada kisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak kisas) nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim."
(al-Maidah:45)

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih" (Al-Baqarah:178)

Antara dalil-dalil lain berkenaan kewajipan pelaksanaan Hukum Qisas ini adalah 2:179,6:151 dan 17:33.Penulis serahkan kepada pembaca budiman sekalian untuk merujuk Tafsir bagi dalil-dalil yang lain.:)

Kesalahan-Kesalahan di bawah Hukuman Qisas.

1. Membunuh
2. Mencederakan.

Dalam konteks kecederaan ini,hatta luka-luka kecil sekalipun perlu diqisas juga.Ini bersandarkan dalil surah Al-Maidah ayat 45 di atas.

Terdapat perbezaan yang amat ketara antara Hudud dan Qisas dari segi pelaksanaan.Hukuman Hudud bersifat kekal.Tiada siapa pun boleh mengurang,menambah atau membatalkan hukuman tersebut sekiranya si tertuduh telah sabit kesalahannya.Namun,bagi kes qisas,hukumannya boleh digugurkan sekiranya mendapat pengampunan daripada si mangsa.Ini kerana dalam Hukuman Hudud hak Allah adalah lebih menonjol daripada hak manusia,sementara dalam Qisas pula hak manusia lebih menonjol daripada hak Allah.Yang dimaksudkan dengan hak Allah di sini adalah hak masyarakat umum/orang ramai. Satu perkara yang menarik dalam hukuman Qisas adalah si pesalah boleh merayu kepada si mangsa untuk menggantikan hukuman Qisas dengan Diat.Diat di sini adalah ganti rugi ataupun pampasan dalam jumlah tertentu kepada si mangsa.

DiaT

DiaT (Ganti rugi) dikenakan pada kesalahan-kesalahan berikut:

1- Pembunuhan Sengaja

Pembunuhan sengaja,diatnya adalah 100 ekor unta yang terdiri daripada:

i- 30 ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)
ii- 30 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)
iii- 40 ekor Hulqah .

Pembayaran mesti dibuat tanpa penangguhan.Lagi satu,Diat hanya dibenarkan sekiranya mendapat pengampunan dari waris si mati.

2- Pembunuhan seolah-olah sengaja.

Pembunuhan seolah-olah sengaja berlaku sekiranya alat yang membunuh biasanya tidak membawa maut.Contoh,melempar kpd mangsa dengan batu kecil tanpa niat untuk membunuh.Diat membunuh yang seolah-olah sengaja ini diistilahkan sebagai 'Aqilah" iaitu diatnya dikenakan kepada keluarga si pembunuh.Keluarga di sini membawa maksud waris di sebelah bapa terutama saudara2 lelakinya,anak-anak saudara lelakinya dan seterusnya.Jika tiada,maka bapa saudaranya,sepupu2 lelakinya dan seterusnya.

Bentuk bayarannya sama dengan pembunuhan sengaja iaitu 100 ekor unta dengan jenis2 yang telah disebutkan.Cuma,keluarga si pembunuh mempunyai masa selama 3 tahun untuk menjelaskan bayaran.Setiap tahun bayarannya adalah 1/3 daripada jumlah diat.

3- Pembunuhan Tidak Sengaja.

Pembunuhan tidak sengaja contohnya adalah tertembak rakan yang disangka binatang buruan atau menebang pokok dan tiba2 pokok itu menghempap seseorang dan membunuhnya. Diatnya adalah 100 ekor unta iaitu:

i- 20 ekor unta berumur 5 tahun (Juz'ah)
ii- 20 ekor unta berumur 4 tahun (Hiqqah)
iii- 20 ekor unta betina berumur 3 tahun (Bintu Labun)
iv- 20 ekor unta berumur 3 tahun (Ibnu Labun)
v- 20 ekor unta betina berumur 2 tahun (Bintu Mukhad)

Juga perlu dijelaskan dalam tempoh 3 tahun.

4- Diat kecederaan anggota

i- 100 ekor unta untuk anggota tunggal.Contoh:hilang kewarasan,putus lidah,lumpuh.

ii- 50 ekor unta untuk anggota yang berpasangan.Contoh kaki,tangan,telinga,mata.Sekiranya kedua-dua cedera maka diatnya 100 ekor unta.

iii- 33 ekor unta untuk kecederaan hingga ke dalam bahagian otak (al-Ja'ifah)

iv- 33 ekor unta untuk kecederaan yang sampai ke selaput kepala (Al-Ma'muumah)

v- 25 ekor unta untuk anggota yang 4 bahagian.Contoh: kelopak mata. Setiap satu bahagian mewakili 25 ekor unta.

vi- 10 ekor unta untuk patah tulang (Al-Hasyimah)

vii- 15 ekor unta untuk kecederaan yang sampai ke tulang dan mematahkannya sehingga tergeser dari tempatnya (Al-Munqilah)

viii- 10 ekor unta untuk anggota yang ada 10 bahagian seperti jari tangan dan jari kaki.Setiap satu jari jika patah mewakili 10 ekor unta.

ix- 5 ekor unta untuk kecederaan yang menampakkan tulang (Mudhihah)

Bolehkah Diat dibayar dengan wang?

Boleh.Unta hanyalah satu ukuran.Umar al-Khatab pernah menjelaskan bahawa diat boleh dibayar dengan wang,lembu,kambing dan sebagainya.Yang penting,ia mesti memenuhi kehendak syara' iaitu satu kadar yang setara dengan nilai 100 ekor unta bagi nilai yang sederhana.Bukan di waktu inflasi dan sebagainya.Contohnya,pada zaman dahulu,ulama' pernah menetapkan penggantian 100 ekor unta dengan 1000 dinar wang emas,200 ekor lembu atau 2000 ekor kambing.

Buat masa sekarang,penetapan kadarnya perlu ditetapkan oleh mahkamah dengan mengambilkira nilai mata wang negara dan harga pasaran unta.

Bagaimana jika tidak mampu membayar Diat?

Jika tidak mampu membayar diat,maka jatuh hukum wajib kepada si pemerintah untuk membayar diat tersebut dengan menggunakan baitul mal.Ini bagi menjamin tiada jenayah yang terlepas daripada hukuman.Seseorang yang kaya dan mati tanpa waris,maka hartanya menjadi milik baitul mal.Oleh itu wajarlah wang baitul mal digunakan untuk membayar diat untuk mereka yang miskin dan tanpa waris pula.Tidak membayar diat,maka pemerintah tidak menjalankan tanggungjawab melindungi rakyatnya yang teraniaya.

TaKZiR

Takzir dari sudut bahasa bererti mencegah atau menahan.Dari sudut perundangan islam,Takzir adalah undang-undang jenayah yang tidak ditetapkan kadar dan bentuknya,wajib dilaksanakan bagi memenuhi Hak Allah dan manusia.Kesalahan-kesalahan yang tergolong dalam hukuman takzir adalah kesalahan-kesalahan yang tidak diletakkan di dalam Hukuman Hudud dan Qisas.Contohnya,rasuah,menipu dan merosakkan harta benda awam.Kesalahan-kesalahan Hudud yang tidak memenuhi syarat juga akan dibicarakan dalam hukuman Takzir.

Bentuk Hukuman Takzir.

Oleh kerana hukuman Takzir tidak ditetapkan secara khusus,maka bentuk hukumannya adalah terletak kepada budi bicara pemerintah atau mahkamah.Namun begitu,hukumannya mesti memenuhi kehendak syariat.Malah ulama' muktabar zaman silam telah membicarakan bentuk-bentuk hukuman takzir dan telah menetapkan syarat-syarat hukuman tersebut (kebiasaannya berbeza dari segi mazhab).Penulis senaraikan sebahagiannya:

i- Hukuman Bunuh.

Hanya Mazhab Hanafi membenarkan hukuman bunuh dikenakan ke atas pesalah Takzir bagi kes-kes yang membawa kemudharatan besar kepada ummah.Contohnya,rogol berulang kali.Bagi mazhab lain,hukumnya Tidak Harus.

ii- Hukuman Penjara

Jumhur membenarkan hukuman penjara dan tidak menetapkan tempoh hukuman tersebut.Terpulang kepada pemerintah/mahkamah.

iii- Sebatan

Majoriti mazhab Hanbali dan sebahagian ulama' syafie seperti Al-Balqini tidak membenarkan pukulan melebihi 10 sebatan.Sementara,Jumhur Hanafi dan sebahagian mazhab Syafie membenarkan pukulan melebihi 10 kali tetapi mesti tidak melebihi hukuman Hudud (sekiranya kesalahan takzir tersebut adalah kesalahan Hudud yang tidak cukup syarat).

Selain itu hukuman-hukuman yang boleh dilaksanakan ke atas pesalah takzir adalah seperti dibuang daerah,dipulaukan,denda dan merampas harta,teguran/nasihat/ancaman dan dirobohkan rumahnya.Ada juga pendapat yang membenarkan pesalah takzir diikat hidup-hidup dengan diberi hak untuk makan,minum dan solat tetapi tidak boleh melebihi tempoh 3 hari.

Penutup

Sayugia penulis nyatakan di sini bahawa undang-undang yang ditetapkan oleh Al-Qur'an dan as-Sunnah adalah undang-undang yang terbaik dan memberikan kesejahteraan ulung kepada umat manusia.Penggunaan undang-undang ciptaan Barat sebenarnya telah terbukti gagal dalam membendung atau mengurangkan kes-kes jenayah di mana juga tempat yang mendaulatkannya.Contohnya,pada tahun lepas sahaja,kes jenayah kekerasan dan harta benda di negara kita adalah 198 622 kes;meningkat daripada 157,459 kes dalam tahun 2005 dan 156,455 kes pada 2004.Jumlah jenayah terus meningkat,tanpa ada tanda-tanda untuk turun.Jesteru,sampai bila kita mahu terus hidup dalam ketakutan?

Wallahua'lam..

Assalamu'alaykum..