Home

SiRi 3 uNDaNG-uNDaNG iSLaM - HuDuD (BaHaGiaN aKHiR) DaN MenJaWaB BeBeRaPa PeRSoaLaN MeNGeNaiNya

Assalamua'laykum..

Penulisan kali ini akan membincangkan pula berkenaan kesalahan-kesalahan jenayah mengikut Hudud selain murtad dan mencuri(sariqah) yang telah dibincangkan pada entri sebelum ini.Penulis juga akan cuba memperjelaskan secara terperinci berkenaan kekeliruan dan kesalahfahaman masyarakat berkenaan konsep Hukum Islam ini.

3. Merompak/Menyamun.

Merompak/Menyamun adalah kesalahan jenayah ke 3 dalam Hukum Hudud.Secara mudahnya,kesan menyamun adalah lebih tinggi berbanding mencuri.Ini kerana,menyamun akan disertai dengan ugutan dan kebiasaannya kecederaan kepada tubuh badan mangsa dan mengakibatkan ketakutan dan trauma bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada masyarakat sekitar.

Dalil kepada hukuman keatas perompak dan penyamun ini adalah:

"Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar"
(Al-Maidah:33)

Imam Syafie r.a pernah mengulas bahawa : "Sekiranya dalam satu kejadian rompakan itu didapati bahawa hanya ugutan dan perampasan harta yang berlaku,tidak melibatkan kecederaan kepada tubuh badan,maka si perompak perlu dipotong tangan kanan dan kaki kiri mereka (secara bersilang).Jika mangsanya dibunuh maka hukumannya qisas (Bunuh balas).Tetapi jika merompak dan membunuh,maka si pelaku perlu disalib dan dibunuh.Jarak masa paling lama antara si pelaku disalib dan dibunuh adalah 3 hari".begitu pandangan Imam Syafie.

Sementara mengikut pendapat Imam Al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya mengatakan: " Dalam kaedah menjatuhkan hukuman kepada perompak atau mereka yang melakukan kerosakan atau sebagainya,maka pemerintah boleh membuat pilihan untuk menjatuhkan mana-mana satu daripada hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu sama ada bunuh,salib,potong tangan dan kaki secara bersilang atau dibuang negeri/daerah.

4. Meminum minuman yang memabukkan (khamar).

Mengenai khamar,Allah berfirman dalam Al-Qur'an:

"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."(Al-Maidah:90)

Rasulullah s.a.w menyamakan peminum arak ini sebagai penyembah berhala.Perbuatan menyembah berhala adalah syirik,iaitu dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah s.w.t.Syirik akan merosakkan iman dan menghancur luluhkannya dari jiwa manusia.Oleh itu,meminum arak boleh membawa kepada syirik dalam penmgertian bahawa amalan2 yang dilakukan oleh si peminum arak tidak akan diterima oleh Allah.

Jumhur berpendapat bahawa hukuman sebat bagi si peminum arak adalah sebanyak 80 kali.Sementara bagi Mazhab Syafie,jumlahnya adalah 40 kali.

Adakah Dadah,pil khayal dsb dikira sebagai khamar yakni memabukkan?

Pada hakikatnya,kesan yang dirasai oleh si peminum arak dan penghisap dadah adalah hampir sama iaitu memabukkan dan kehilangan daya kawal tubuh.Jesteru berlaku khilaf (perbezaan pendapat) dalam persoalan ini.Jumhur ulama' berpendapat,penghisap dadah tidak termasuk dalam kategori peminum khamar dan akan terlepas daripada hukum Hudud.Namun,mereka tetap akan dibicarakan dan dihukum mengikut Hukum Takzir.Sementara sebahagian ulama' pula berpendapat Dadah boleh diqiaskan dengan arak,maka hukum Hudud jatuh ke atas penghisap dadah juga.

Kaedah hukuman sebat mengikut mazhab:

1. Mazhab Hanafi:

Adalah wajib pukulan tidak ditumpukan pukulan pada satu tempat, kerana boleh membawa kepada merosakkan anggota atau mengoyakkan kulit.Pukulan itu hendaklah ditujukan pada pelbagai tempat seperti di bahu,lengan,lutut,peha dan betis,dan hendaklah dijauhi dari­pada tcmpat-tempat yang ditakuti boleh membunuh seperti muka,kepala,dada,perut dan kemaluan.Saiyidina `Ali berkata kepada tukang sebat, "Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan jauhi muka dan zakarnya."

2. Mazhab Maliki:

Bahagian yang dipukul semasa dijalankan had ialah belakang badan dan anggota yang berdekatan dengannya.

3. Mazhab Syafie:

Pukulan hendaklah ditujukan ke pelbagai anggota, dan hendaklah menjauhi muka, faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti (sama dalil dengan mazhab hanafi). Riwayat daripada `Umar bahawa beliau menemui seorang jariyah yang sedang dilakukan had ke atasnya. lalu beliau berkata, "Kamu pergilah kepada­nya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya." Ini kerana maksud daripada had adalah menegah (jawazir) tanpa bertujuan untuk membunuh.

4. Mazhab Hambali:

Dibolehkan memukul pada semua anggota kecuali pada tiga tempat iaitu kepala, muka dan kemaluan daripada lelaki dan perempuan, kerana selain tiga tempat ini bukanlah tempat yang boleh membunuh, umpama yang boleh itu ialah bahagian belakang badan. Dalil mereka adalah :Saiyidina `Ali berkata kepada tukang sebat, "Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan jauhi muka dan zakarnya."

Hudud dan Sains Selari

Sebat atasi ketagih arak ?

MOSCOW: Ahli sains Russia mendakwa hukuman rotan ke atas punggung tanpa berlapik adalah penawar untuk setiap penyakit daripada tekanan perasaan sehinggalah kepada membuang tabiat meminum arak. Akhbar Izvestia melaporkan, penyelidik di Novosibirsk menyatakan, hukuman rotan merembeskan endorfin, bahan kimia semulajadi badan membuatkan seseorang menjadi gembira.
Endorfin menjadi punca perasaan girang, mengurangkan selera, mengeluarkan hormon seks dan meningkatkan tindak balas kekebalan. Mereka berkata, kesakitan itu mempunyai kesan yang hampir sama dengan morfin dan candu tetapi ia tidak mendorong kepada ketagihan atau pergantungan.
Ahli sains itu yang diketuai pakar Biologi, Dr Sergei Speransky, mendakwa hukuman rotan seperti yang seringdilakukan di sekolah Britain pada kurun sebelum ini berjaya membantu orang ramai mengatasi ketagihan atau tekanan.
Beliau yang bertugas di Institut Perubatan Novosibirsk berkata, rawatan itu terbukti berkesan. "Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu."
Ahli sains itu mencadangkan terapi sebanyak 30 sesi membabitkan 60 kali rotan, ke atas punggung seseorang berbadan sederhana. Dr Marina Chuhrova yang turut serta dalam menyediakan laporan itu menyatakan, beliau sudah pun mempunyai 10 pesakit yang menjalani terapi itu.
"Pada mula mereka membantah tetapi apabila menyedari kebaikan tindakan itu, mereka pula yang meminta ia dilakukan," katanya.
Pasukan perubatan Russia itu menyatakan mereka kini mengenakan caj untuk merotan pesakit dengan harga RM 342 bagi sesuatu rawatan biasa.- Agensi

Sumber:Berita Harian 30 Mac 2005

5. Bughah (Memberontak)

Definisi bughah adalah:

"Segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah al-Akhyar,Jilid 2)

Oleh itu tidak dikira bughah bagi mereka yang menentang pemerintah yang zalim,menindas rakyat serta enggan melaksanakan Hukum Islam.Contoh pemberontakan terhadap pemerintah yang dilakukan secara benar adalah pada zaman Khalifah Mansur yang zalim.Telah berlaku pemberontakan oleh Muhammad Nafsu Zakiah dan Ibrahim Nafsu Mardhiah bagi menggulingkan khalifah ketika itu.Pemberontakan ini mendapat restu Imam Abu Hanifah dan beliau telah menyifatkan pemberontakan ini sebagai jihad dan barangsiapa yang bersama dengan pemberontakan ini dan terbunuh kerananya,maka matinya adalah mati syahid yang tarafnya lebih tinggi daripada darjat syahid Tentera Islam yang gugur semasa menentang tentera Rom.

Contoh bughah terkini pula adalah FATAH yang memberontak ke atas Kerajaan Islam Hamas.Ini kerana Hamas telah diberi mandat secara sah dan telah membentuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama.Jesteru itu,adalah sah dan halal bagi Hamas untuk memerangi Fatah.

Dalil hukuman ke atas bughah:

"Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Hujurat:49)

Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah atau kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu”. (Riwayat Muslim)

Hukuman ke atas bughah:

Terbahagi kepada 2:

1.Jika pemberontak tidak mempunyai kekuatan atau persenjataan, maka penguasa perlu memenjarakan mereka sehingga mereka bertaubat.
2.Jika pemberontak memiliki kekuatan dan persenjataan maka penguasa boleh memerangi mereka selepas dinasihati.

NoTa: Harta yang dimiliki oleh pemberontak tidak boleh diambil sebagai ghanimah (harta rampasan perang).Berbeza dengan peperangan dengan kafir harbi di mana harta kafir harbi adalah ghanimah dan dibahagikan mengikut kaedah2 tertentu.Juga, penguasa tidak boleh memerangi bughah dengan bantuan kaum musyrik.

6. Zina

Zina adalah satu persetubuhan yang tidak sah yang dialukan oleh 2 orang yang tiada ikatan perkahwinan antara mereka.Perbuatan zina ini boleh diibaratkan sebagai pembunuhan yakni zina 'membunuh' keturunan dan memperhambakan diri kepada nafsu demi mencapai kelazatan dan keenakan yang sekejap.

Allah berfirman:
" Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)

Jumhur berpendapat bahawa sabit kesalahan zina adalah melalui 2 kaedah:

1- Pengakuan daripada penzina atau dipanggil Iqrar.

2- Kenyataan 4 orang saksi lelaki muslim, baligh, merdeka,mempunyai penglihatan,boleh bertutur,tidak ditohmah sebagai pembohong dan adil. (al-Feqh al-Islami wa adillatuhu)

Dalam permasalahan saksi,jumhur berpendapat bahawa semua saksi mesti lelaki.Tidak boleh seorang perempuan memberikan kesaksian dalam kes Zina ini.Walaubagaimanapun,mengikut pendapat mazhab Zohiriah,Ato' Bin Abi Rabah dan Hammad bin Sulaiman(Guru Imam Abu Hanifah) menerima pensaksian wanita dengan kaedah 3 lelaki 2 perempuan,2 lelaki 4 perempuan atau satu lelaki dan 6 perempuan.Malah Ato' Bin Abi Rabah mengatakan jika 8 perempuan yang adil memberikan kesaksian zina ke atas wanita lain,beliau akan menjatuhkan hukuman.Namun pendapat ini adalah lemah.

Kesaksian wanita tidak diterima kerana beberapa sebab iaitu,Kekurangan aqal wanita dan sifat lalai dan lupa pada mereka(Al-Baqarah: 282).

Jesteru itu,adakah ia menghina dan memperendahkan wanita?Jawapannya tidak.Ini kerana tugas sebagai saksi bukan keistimewaan atau hak.Ia adalah tanggungjawab.Haram hukumnya enggan memberikan pensaksian dan haram hukumnya menghalang seseorang menjadi saksi.Jesteru Islam menjaga hak wanita dengan memberi tanggungjawab atas apa yang termampu dan kesesuaian fitrah mereka sahaja.

Lantas bagaimana jika kejadian rogol berlaku di kediaman/asrama perempuan?

Terdapat 2 pendapat:

1- Kesaksian tidak diterima,cukup sekadar takzir.Demikian pandangan Ulama' Mazhab Hanafi.

2-Diterima penyaksian atas dasar darurat di mana di situ tidak mungkin terdapat lelaki atau tidak mungkin di lihat oleh lelaki.Disyaratkan terdapat sekurang-kurangnya 4 orang sebagai saksinya menurut Mazhab Syafie, seorang menurut mazhab Hanafi,dan ada juga yang mengatakan 2 orang.

Namun begitu,walaupun tiada saksi tetapi kes ini tetap akan diadili mengikut hukum takzir yang mungkin boleh membawa hukuman yang lebih berat iaitu sehingga hukuman mati (mengikut pendapat Mazhab Hanafi) jika sekiranya sesuatu kesalahan itu membawa kemudhatratan yang besar.Kita akan bincangkan isu Takzir dalam siri seterusnya insyaAllah.

Hukum bersabit kesalahan zina:

1- Sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin

Firman Allah:

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."(Surah An-Nuur, Ayat 2)

2- Rejam bagi yang sudah berkahwin.

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab:

الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا أَلْبَتَّةَ نَكَالًا مِنْ اللَّهِ وَاَللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Lelaki tua dan perempuan tua apabila mereka berzina, hendaklah kamu rejam mereka mandatori, pencegahan/ pengajaran dari Allah.Allah maha gagah dan maha bijaksana"

Namun begitu ayat ini telah dimansukhkan bacaannya.Walaubagaimanapun hukumnya adalah kekal.

Tafsir Al-Qurtubi berkenaan surah Al-Ahzab:

سورة الاحزاب مدنية في قول جميعهم. نزلت في المنافقين وإيذائهم رسول الله صلى الله عليه وسلم، وطعنهم فيه وفي مناكحته وغيرها. وهي ثلاث وسبعون آية. وكانت هذه السورة تعدل سورة البقرة. وكانت فيها آية الرجم: (الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما ألبتة نكالا من الله والله عزيز حكيم)، ذكره أبو بكر الانباري عن أبي بن كعب.

"Surah al Ahzaab (adalah surah) Madaniyyah (turun selepas hijrah) mengikut pendapat semua ulama'.Turun surah ini berkenaan golongan munafiqin dan perbuatan mereka menyusahkan/menyakitkan hati dan perbuatan mereka mencerca Baginda dan perkahwinan baginda dan lain-lain.Jumlah ayatnya 73 ayat.Asalnya surah ini sepanjang surah al Baqorah termasuk ayat rejam (yang disebutkan di atas).Telah menyebutnya Abu Bakr al Anbaariyy daripada Ubai bin Ka`b."

Hadis Nabi s.a.w:

Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani berkata :
Maksudnya : "Seorang lelaki desa datang menghadap Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seraya berkata : " Wahai Rasulullah ! Atas nama Allah, saya minta kepada Tuan supaya Tuan menjatuhkan hukuman kepada saya sesuai dengan Kitabullah." Kemudian berkata lelaki lawannya dan dia itu lebih pintar daripadanya: "Ya betul ! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan Kitabullah dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara." Bersabda Rasulullah Sallalahu 'Alaihi Wasallam "Berbicaralah." Katanya : "Anak lelaki saya bekerja menjadi pekerja orang ini, maka dia berzina dengan isteri orang ini dan sesungguhnya saya telah diberitahu bahawa anak saya itu harus dihukum rejam, maka saya tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli ilmu, maka mereka mengatakan kepada saya bahawa anak saya itu dihukum sebat seratus kali dan dibuang negeri selama satu tahun, sedangkan isteri lelaki ini mendapat hukuman rejam (sampai mati). Maka bersabda Rasullullah Sallalahu 'Alaihi Wasallam : "Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya aku akan menjatuhkan hukuman di antara kedua belah pihak sesuai dengan Kitabullah. (Tebusan) Hamba sahaya dan kambing itu ditolak dan ke atas anakmu sebat seratus kali dan dibuang negeri satu tahun. Wahai Unais ! Besok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini ( dan periksa apakah dia memang berzina), jika dia mengaku, maka rejamlah dia !" Berkata Abu Hurairah : Besok pagi Unais pergi kepada perempuan itu, (ternyata) dia mengaku (berzina)." Rasulullah memerintahkan supaya dihukum rejam, maka direjamlah perempuan itu." (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Umar Al-Khatab r.a:

"Sesungguhnya Allah telah mengutus Muhammad s.a.w dengan kebenaran dan telah menurunkan kepada baginda kitab Al-Quran. Di antara yang diturunkan kepada baginda ialah ayat yang menyentuh tentang hukuman rejam. Kami selalu membaca, menjaga dan memikirkan ayat tersebut. Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman rejam tersebut dan selepas baginda, kami pun melaksanakan juga hukuman itu. Pada akhir zaman aku merasa takut, akan ada orang yang akan mengatakan: Kami tidak menemukan hukuman rejam dalam kitab Allah iaitu Al-Quran sehingga mereka akan menjadi sesat kerana mereka meninggalkan salah satu kewajipan yang telah diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya hukuman rejam yang terdapat dalam kitab Allah itu mesti dilaksanakan ke atas penzina yang pernah berkahwin samada lelaki ataupun perempuan apabila terdapat bukti yang nyata, samada dia telah hamil ataupun dengan pengakuan darinya sendiri"

Dalam bentuk hukuman ke 2 iaitu rejam,selalu berlaku penafian dan cabaran daripada golongan anti-hadis bahawa hukum rejam tiada dalam Al-Qur'an.Jesteru,dalil2 ini di bawa bagi mematahkan hujah golongan tersebut.

Secara mudahnya hukuman yang berbeza antara penzina yang sudah dan belum berkahwin mempunyai hikmah yang tersendiri.Perbezaan ini wujud kerana yang belum berkahwin belum mempunyai 'perlindungan'.'Perlindungan di sini membawa maksud,perlindungan daripada nafsu syahwat kerana yang belum berkahwin berseorangan.Berbeza yang sudah berkahwin yang lebih mudah mengawal nafsu mereka kerana adanya suami/isteri. (Prof Harun Din:2007)

7- Qazaf.

Qazaf adalah menuduh zina tanpa membawa bukti yang nyata.

Allah berfirman:
"Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik" (An-Nur:4)

Qazaf adalah satu perbuatan yang sangat terkutuk kerana ia boleh memecahbelahkan rumahtangga,merosakkan maruah orang lain,melahirkan permusuhan dan memporak-perandakan masyarakat.Anak-anak kepada yang dituduh berzina akan terseksa dan menghadapi tekanan emosi.

Hukuman kepada pelaku qazaf adalah 80 kali sebat sepertimana dalil di atas.
Akan timbul persoalan,bagaimana sekiranya seorang yang dirogol,kemudian membawa masalah ini ke mahkamah tanpa saksi yang empat,adakah dia akan turut dikenakan qazaf?Dalam persoalan ini,penulis tertarik untuk merujuk Enakmen Undang-undang Hudud Terengganu berkenaan hukum qazaf ini:

Bahagian III perkara 9:
(1) Seseorang yang mengadu dirinya dirogol oleh orang tertentu dengan tidak mengemukakan bukti (nyata) yang dikehendaki oleh syarak berkait dengannya atau dengan tiada sebarang qarinah bagi menyokong dakwaannya itu telah melakukan kesalahan qazaf.
(2) Aduan oleh seorang perempuan yang dia dirogol oleh orang tertentu tanpa berupaya membawa saksi yang disyaratkan tetapi ada qarinahnya, hendaklah disiasat dan jika syarat-syarat yang dikehendaki syarak tidak dipenuhi untuk menghukum pesalah di bawah hukuman hudud dan sebaliknya ada cukup bukti yang tidak boleh disangkalkan dengan keterangan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menunjukkan pesalah telah melakukan persetubuhan ke atasnya dengan kekerasan dan tanpa kerelaannya maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman takzir dan perempuan itu tidak boleh dikatakan telah melakukan qazaf.


Jesteru itu,sekiranya wanita tersebut tidak mempunyai saksi dan hanya mempunyai bukti(qarinah) maka wanita tersebut perlu melakukan teliti semasa di dalam perbicaraan.Contohnya,wanita tersebut tidak boleh menyebut dengan yakin bahawa si A telah merogolnya.Dia mesti megatakan 'Mungkin si A yang rogol saya'.Jesteru itu,hukum qazaf tidak akan jatuh kerana terdapat syubhah atau keraguan pada pertuduhannya.Dan si A akan dibicarakan mengikut kaedah hukum Takzir pula.

Jika sekiranya sabit kesalahan qazaf,maka si wanita itu boleh meminta maaf kepada si A (yang dituduhnya).Jika diterima,maka hukum qazaf tidak akan dijalankan ke atas si wanita tadi selepas dia bertaubat.

Penulis akhiri penulisan siri kali ini dengan satu hadis dari Rasulullah s.a.w:

"Cubalah sedaya upayamu untuk tidak mengenakan hukuman hudud ke atas Muslimin, sekiranya kamu dapati jalan keluarnya maka lepaskanlah ia, sesungguhnya Imam tersilap dalam menjatuhkan hukuman lepas adalah lebih baik dari tersilap dalam menjatuhkan hukuman denda"
(Riwayat oleh at-Tirmidzi, al-Hakim, Al-Baihaqi dari A’isyah, Ali dan Ibn Mas’ud)

InsyaAllah penulisan selepas ini akan membicarakan mengenai qisas dan takzir pula.Penulis pohon maaf kerana tidak dapat menjanjikan bila kerana keterbatasan waktu yang penulis miliki.Suka juga penulis pohon agar jika terdapat kesilapan,maka mohon dibetulkan.Berdiskusilah secara matang dan elakkan menggunakan ayat2 yang memperendahkan imej kita selaku golongan mukmin insyaAllah..

Wallahua'lam..

Assalamu'alaykum..

iBNuZaCK: Minggu Depan start exam...

2 Komentar:

Anonymous said...

ble cr info psl onani x??
ape hukum n denda dia? bkn ape..rasenye ramai yg nk tau eh??hohoho..peace~

iBNuZaCK said...

Salam..

Dr Yusuf Qardhawi pernah membicarakan hal yang sama dalam bukunya,Al-Halal Wal Haram Fil Islam (Halal Dan Haram Dalam Islam).

Jumhur ulama' telah bersepakat bahawa hukumnya HARAM untuk beronani bersandarkan firman Allah s.w.t dalam Al-Mu'minuun ayat 5-7,

"dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa.Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas."

Walaubagaimanapun sekiranya berlaku kekhuatiran dan kebimbangan akan berlakunya zina ditambah ketidak mampuan untuk berkahwin maka hukum beronani adalah harus bersandarkan kaedah usul fiqh:

Apabila berkumpul 2 mudharat maka pilihlah mudharat yang paling ringan.

Namun Rasul telah memerintahkan umatnya yang tiada kemampuan untuk berkahwin agar berpuasa kerana berpuasa itu pelindung (mengurangkan nafsu syahwat).Jesteru disimpulkan bahawa berpuasa harus diberi keutamaan terlebih dahulu.

Berkenaan denda didunia,maka jika mahu dilaksanakann maka ia tertakluk kepada hukuman takzir dan terpulang kepada kebijaksanaan pemerintah asal saja berlandaskan ayariat.

Wallahua'lam..

Salam..