Home

iSu KaLiMaH 'Allah' : SoaL-JaWaB

Assalamu'alaykum..

Soalan:

Kenapa mahu marah-marah Kristian pakai kalimah Allah? Kenapa perlu berebut? Yang penting kita tahu Allah itu siapa sudahlah.

Jawapan:

Isu 'Allah' ini bukan isu perebutan nama. Ia adalah isu akidah, isu falsafah, isu maqasid di sebalik nama itu.

Kita tidak marah kalau Kristian mahu menisbahkan Allah kepada Tuhan yg sebenar. Tiada masalah. Tapi kita tidak setuju kalau dikatakan Allah itu adalah Roh Kudus dan Jesus atau sebaliknya atas sebab Trinity yang mereka pegang. Bukankah di dalam Bible menyebut "Aku dan 'Bapa' adalah satu"?

Soalan:

Tetapi musyrikin Makkah dan Arab pada zaman Nabi pun pakai nama Allah. Bapa Nabi pun bernama Abdullah. Apa masalahnya?

Jawapan:

Memang musyrikin Arab memakai kalimah 'Allah' bila mereka merujuk kepada Tuhan. Betul. Tapi menjadikan alasan itu bagi menghalalkan penggunaan 'Allah oleh Kristian Trinity adalah tidak kena. Kerana musyrikin zaman itu memahami 'Allah' itu sebagai Tuhan yang sebenar. Mereka tidak menisbahkan 'Allah' itu sebagai Latta dan Uzza dan berhala-berhala yang mereka sembah. Sebab itu mereka digelar 'musyrikin'.

Soalan:

Tapi Allah ada sebut “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (al-Ankabut:63).

Kan kita disuruh mengucap Alhamdulillah bila non-muslim mengaku Allah itu Tuhan. Jadi, kenapa anda hendak halang?

Jawapan:

Sebab itulah pentingnya sebelum mengambil apa-apa dalil mesti kita faham asbabun nuzul dan tujuan ayat itu turun. Sama seperti ayat 'La ikraha fiddin'. Ia ditujukan kepada mereka yang memaksa bukan Islam masuk Islam bukan sebaliknya. Sebab itu adanya golongan Islam Liberal yang menggunakan ayat ini secara umum bagi menghalalkan murtad.

Hakikatnya ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Arab yang berada di sekitar Nabi saat itu. Bukan kepada seluruh 'bukan Islam'. Sebab itulah Islam tidak membantah. Sebab itu jugalah Nabi disuruh mengucapkan syukur. Sebab musyrikin itu masih kenal dan tahu siapa Allah yang sebenar walaupun disyirikkan dengan menyembah berhala.

Maka bersyukurnya Nabi pada hal itu adalah benar.

Bukannya untuk Kristian yang mengatakan Allah dan Jesus itu adalah satu. Yang mengatakan Allah itu Jesus dan Jesus itu Allah. Yang mengatakan Jesus itu diri Allah yang boleh disentuh, didengar, diam bersama, dirasa etc.

Munasabahkah kita bersyukur apabila Kristian mengatakan Allah Jesus yg menurunkan hujan dari langit?

Maka kesyukuran kita itu adalah pada hal yg batil.

Soalan:

Tapi bukankah Allah ada sebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Jadi yang penting konsep. Bukan nama. Setuju?

Jawapan:

Ayat ini secara jelas membantah penggunaan kalimah 'Allah' untuk dinisbahkan kepada Jesus dan Roh Kudus. Inilah yang mereka mahu buat pada hari ini. Ini yang kita bangun membantah. Inilah isu yang mendasarinya. Ini bukan soal istilah saja.

Kalau mereka menisbahkan Allah itu kepada Tuhan yang sebenar dan bukan kepada yang lain seperti yg dibuat musyrikin pada zaman nabi, kita pun tak mahu nak halang. Qulilhamdulillah!

Soalan:

Bukankah Quran mengakui bahawa adanya tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam Surah al-Hajj ayat 40. Jadi apa masalahnya kalau gereja Katolik mahu menggunakan nama Allah? Mereka berhak.

Jawapan:

Memanggil 'nama Allah' dan 'Allah' adalah 2 hal yg berbeza. Tolong bezakan.

Sudah berzaman penganut agama Tauhid memanggil Tuhan yang sebenar dengan bahasa mereka atau bahasa kitab mereka. Bani Israel mungkin memanggilnya Eloh, orang Nusantara mungkin memanggil-Nya Dewata Mulia Raya, orang Parsi mungkin memanggil-Nya Ahura Mazda. Dan bila mereka sebut nama-nama itu, memang mereka merujuk kepada Tuhan yang sebenar iaitu Allah

Sama apabila kita menyebut Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, maka kita merujuk kepada Allah, Tuhan yang sebenar. Bukan kepada yang lain.

Jadi andaikata mereka mahu meminta hak sekalipun, yang mereka boleh minta adalah kalimah yang ada dalam kitab mereka. Eloh, Elohim, Yahweh. Bukan 'Allah'.

Soalan:

Tetapi bukankah Kristian Arab juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible mereka? Tidak pula kerajaan Arab menghalang.

Jawapan:

Kebanyakan Kristian Arab yang memakai kalimah 'Allah' dalam terjemahan Bible (dipanggil Kitabul Muqaddas) adalah Kristian Unitarian. Yang percaya Allah itu Esa. Katolik Malaysia Unitarian kah? Tentulah tidak. Mereka adalah Kristian Trinitirian. Kristian Trinitirian mengkafirkan Kristian Unitarian

Soalan:

Tetapi Kristian Indonesia juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible. Bukankah mereka Trinitirian juga? Dan Indonesia masih lagi kekal sebagai negara Islam terbesar di dunia. Tidak ada masalahpun. Kita ni mahu ditertawakan Indonesiakah?

Jawapan:

Tahukah anda disebabkan liberalnya agama di Indonesia maka ada premis pada hari Jumaat menjadi masjid, pada hari Sabtu menjadi kuil dan pada hari Ahad pula bertukar menjadi gereja?

Mahu Masjid Putrajaya menjadi Gereja St Thomas pada hari Ahad? Mungkin tidak hari ini. Tapi 50 tahun lagi?

Soalan:

Kita mesti menjaga akidah dengan ilmu. Maka didiklah generasi muda kita. Mesti mereka tak akan salah faham kalau Kristian gunakan 'Allah' sekalipun. Tak perlu larang pun.

Jawapan:

Ini bukan masalah keliru sahaja. Ia juga masalah falsafah dan maqasid yang ada disebalik kalimah Allah. Syariat Islam turun dan memurnikan kalimah 'Allah' itu selama 1400 tahun. Hari ni awak sanggup membiarkan kalimah itu tercemar?

Dakwah dan mendidik satu hal. Preventif satu hal. Dua-dua kena ada. Tuhan tak suruh Iqra' sahaja. Tuhan suruh laksana Hudud Qisas juga. Tuhan suruh "Az-zaniyatu waz-zaani fadzlidu kulla wahidim-minhuma miata jaldah". Ini apa? Preventiflah.

Jika tak perlu preventif, rombaklah Kanun jenayah negara. Berikan pendidikan saja, nescaya rasuah, mencuri, rompak, rogol tidak akan berlaku.

Berani jamin?

Soalan:

Bukankah dengan penggunaan kalimah 'Allah' akan menyebabkan mereka akan lebih memahami Islam dan kita boleh mengambil peluang ini untuk berdakwah kepada mereka? Malah mungkin mereka juga akan terkeliru dengan konsep Triniti sebab 'anak Allah adalah Allah". Ini kelebihan kepada umat Islam!

Jawapan:

Bagaimana untuk mereka lebih memahami Islam dengan cara begitu? Mereka bukannya baca kalimah 'Allah'. Sebab kalimah itu cuma ada dalam Bible bahasa Melayu atau akhbar Herald bahasa Melayu. Mereka baca dalam Bible berbahasa Inggeris. Yang ada cuma 'God'. Jadi, untuk siapa Bible Melayu ini ditujukan?

Kalau mahu ditujukan kepada Kristian Malaysia Timur, kaum Iban dan Kadazan contohnya, maka gunalah bahasa mereka. Kalau mahu standard di dalam bahasa Melayu, maka gunalah 'Tuhan'. Itukan bahasa Melayu? Kalimah 'Allah' bukan berasal dari bahasa Melayu, apatah lagi Iban atau Kadazan atau Murut.

Jika anda boleh mengatakan Kristian akan terkeliru maka kenapa anda tidak mengatakan orang Islam juga boleh terkeliru? Maka tak perlulah pakai. Dua-dua tidak akan terkeliru. Akidah orang Kristian terjaga, akidah orang Islam pun terjaga. Cari penyakit buat apa?


*Ini adalah antara soal-jawab saya dan rakan-rakan di pelbagai ruangan komen di Facebook. Ada editing dilakukan bagi memudahkan pemahaman.

iBNuZaCK: Allahua'lam..

Assalamu'alaykum..

3 Komentar:

Muslim Hashim said...

Alhamdulillah, masih wujud blog ini. Lama betoi tak update noo.

Saya nak tanya, ada tak dalil yang melarang nama 'Allah" diguna orang bukan Islam, in this case Christians?

Anonymous said...

Ustaz, betul ke orang Nusantara dulu pnggil Allah dgn nama Dewata Mulia raya? Leh konfemkan x?

iBNuZaCK said...

Tuan Muslim Hashim, dalilnya ada.

"And to Allah belong the best names, so invoke Him by them. And leave [the company of] those who practice deviation concerning His names. They will be recompensed for what they have been doing." (Al-A'raf: 180)

Ibnu qayyim kata 'Allah' ialah satu kalimah yang disandarkan kepadanya seluruh Asmaul Husna. Syeikh Abd Rahman sebut bhw bila disebut Allah maka ia bermaksud satu Zat yang sempurna yang tidak ada cacat baginya.

Dengan kata lain, bila kita sebut Ar-Rahman, maka ia membawa maksud Yang Maha Pengasih saja, bukan Yang Maha Penyayang atau Yang Maha Mulia. Tapi bila kita sebut Allah, maka ia dah membawa maksud Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Yang Maha Besar, Maha Mulia, Maha Angkuh, Maha Samseng, Maha Pengampun, hah sebut lah sampai habis 99 tu.

Kalaulah Ar-Rahman pun kita disuruh tggalkan org2 yg menyimpang dlm memakai Nama itu, apatah lagi 'Allah'?

Tuan Anonymous,

Ya, boleh rujuk Batu Bersurat Terengganu. Tuhan dlm transkrip di batu bersurat itu bukan saja disebut Allah, tetapi juga Dewata Mulia Raya.

Saya percaya bahawa memang kita di Nusantara dahulu pernah beragama tauhid sebelum rosak dan datangnya syariat Nabi Muhammad. Allah mengutus +-124000 Nabi dalam tempoh kira2 8500 tahun (tempoh antara Nabi adam dan Nabi Muhammad). Maka secara logiknya, takkanlah tidak ada yang turun kepada umat Nusantara. Kalau tidak turun pun, takkanlah tidak ada syariat atau ajarannya yang sampai? Apatah lagi ada sarjana berpandangan umat Melayu ini sebenarnya keturunan Ibrahim a.s dari isteri ketiga bernama Keturah (walaupun masih banyak isu bercanggah dan tidak jelas dalam dakwaan itu).

Sebagai tambahan, Eloh adalah panggilan utk Tuhan dlm Bible asal (Hebrew) dan Ahura Mazda adalah panggilan utk Tuhan oleh penganut Zoroaster (agama samawi).

Allahua'lam.